Banjir Kepayang: JPS bina ban, pasang pam di Sungai Kinta

Berita Perak

IPOH: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membina ban setinggi satu meter sepanjang 600 meter Sungai Kinta di kawasan Kepayang sebagai persiapan menghadapi gelombang kedua banjir yang diramal bermula Ahad ini sehingga Sabtu depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, JPS juga akan segera memasang pam air di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berharap penduduk mengambil langkah keselamatan awal selepas kawasan mereka dilanda banjir besar Ahad lalu, yang menjejaskan 255 buah keluarga.

“Laporan awal daripada MBI, Jabatan Meteorologi dan Jabatan Bomba mendapati hujan lebih 20 jam di mana taburan melebihi 92.5mm memang luar biasa sehingga kawasan takungan air dan sistem perparitan kita tidak mampu untuk mencegah.

“Maka kerajaan telah mengambil langkah segera di mana kerajaan persekutuan meluluskan pembinaan tebatan banjir sebanyak RM108 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat kawasan banjir di Arena Kepayang Putra, di sini, hari ini.

Sambil merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan kerana kelulusan itu, beliau berkata, projek tersebut dijangka dimulakan tidak lama lagi dan tender mengenai telahpun dikeluarkan.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, daripada 255 keluarga yang terjejas banjir Ahad lalu, 174 daripadanya telah mengisi borang dan layak menerima bantuan segera RM1,000 setiap keluarga.

Menurutnya, operasi pembersihan di kawasan banjir yang dilakukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjaya membuang kira-kira 185 tan sampah.

Pada lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan 200 unit tilam kepada keluarga yang terlibat.