IPOH: Akademi Bola Sepak Ipoh Friday’s telah berjaya mencungkil bakat ramai pemain sehingga ada yang sudah menempa nama di peringkat negeri termasuk Malaysia.
Perkara itu diakui Presidennya, Vikneswaran yang menjelaskan bahawa kerja keras serta dedikasi akademi itu selama hampir 20 tahun berjaya memberi impak kepada kejayaan sukan tersebut di Perak.
“Karnival Bola Sepak seperti ini sudah kita anjurkan selama 16 tahun, setahun kita buat dua liga, iaitu dalam Mei dan November.
“Pada pendapat saya, kita ada ramai pemain berbakat yang telah pergi ke peringkat negeri, Piala Presiden serta remaja.
“Bukan di Perak sahaja tetapi termasuk di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka, ramai pemain bola sepak dari akademi ini muncul sebagai pemain Perak serta negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Bola Sepak Akademi Ipoh Friday’s di Padang Ipoh, baru-baru ini.
Vikneswaran menambah, sehingga kini akademi tersebut telah melahirkan seramai 5,000 pemain bola sepak di seluruh Malaysia.
“Saya ucapkan terima kasih kepada para penganjur, penasihat dan kerajaan negeri yang banyak memberi sokongan serta peruntukan kepada kami.
“Ia sekali gus memberi semangat kepada kami untuk mengasah serta membawa lebih ramai bakat baharu di Perak.
“Ibu bapa anak-anak yang terlibat dalam karnival ini begitu mengalakkan, kita mempunyai kira-kira 18 jurulatih yang berpengalaman untuk mengasah bakat anak muda itu,” katanya.
Sementara itu, mengenai karnival tersebut, ia melibatkan 22 pasukan dari Perak membabitkan kategori bawah 8,10,12 dan 16 tahun.
Bagi bawah 8 tahun, Akademi Bola Sepak Friday’s muncul johan manakala SJKT Gopeng naib johan.
Bawah 10 tahun pula, Akademi Bola Sepak Ipoh Friday’s muncul johan dan SJKT Gopeng naib johan.
Bawah 12 tahun, SJKT Klebang sebagai johan dan Akademi Bola Sepak Ipoh Friday’s naib johan.
Bawah 14 tahun pula Akademi Bola Sepak Ipoh Friday’s muncul johan dan naib johan jatuh kepada Akademi Bola Sepak Perak Chinese.
Bawah 16 tahun pula, Akademi Bola Sepak Ipoh Friday’s meraih gelaran johan, manakala Akademi Bola Sepak Perak FC naib johan.