65 peratus usahawan asnaf MAIPk berjaya, 300 orang jadi pembayar zakat

Berita Perak

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), berjaya mengeluarkan ramai asnaf daripada senarai penerima zakat menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A), yang diperkenalkan sejak tahun 2016.

Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar berkata, sekitar 65 peratus daripada lebih 2,000 asnaf yang menyertai program itu berjaya dalam perniagaan masing-masing.

Malah, katanya, daripada jumlah itu antara 200 ke 300 orang telah menjadi pembayar zakat.

“Kalau dulu mereka menerima zakat, kini ada yang telah membayar zakat, sama ada secara bulanan atau tahunan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian kit permulaan perniagaan kursus gunting rambut lelaki dan wanita di sini pada Isnin.

Proper A adalah program latihan dalam bidang keusahawanan khusus untuk golongan asnaf bagi membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Program ini untuk kita nembantu golongan asnaf, dalam senarai kita dan mungkin juga di luar senarai kita, yang berpotensi untuk dibantu dalam bidang perniagaan.

“Kita boleh kembangkan bakat serta kemahiran mereka untuk terlibat dalam dunia perniagaan bagi menyara diri, keluarga dan matlamat kita, akhirnya mereka menjadi pembayar zakat,” kata Rohizan.

Menurutnya, selain gunting rambut, perniagaan yang turut dilaksanakan dalam Proper A tahun ini ialah urutan dan refleksologi, kulinari dan pastri serta ternakan lebah kelulut yang melibatkan 105 asnaf.

Menurutnya, selari dengan perkembangan teknologi maklumat, semua kursus keusahawan MAIPk akan turut memasukkan program digitalisasi.

Pada majlis itu, Rohizan menyampaikan kit permulaan perniagaan kursus gunting rambut lelaki dan wanita bernilai RM5,000.