63 PATI pelbagai warganegara di Perak dihantar pulang ke negara asal

Berita Perak

IPOH: Seramai 63 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Depot Imigresen Langkap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak dihantar pulang ke negara asal masing-masing pada Khamis.

Menurut Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, 63 orang itu terdiri daripada 42 lelaki berusia 18 hingga 50 tahun dan 21 wanita berusia 18 hingga 47 tahun.

“Mereka terdiri daripada warganegara Indonesia, Pakistan, Vietnam, Bangladesh, India dan Indonesia.

“Pemindahan PATI ke negara asal dilakukan melalui pintu masuk udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor.

“Ia dilakukan setelah mereka selesai menjalani hukuman denda dan penjara yang diputuskan Pihak Berkuasa Kehakiman (Mahkamah PATI).

“Kerana didapati dengan munasabah telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta diputuskan pemindahan ke negara asal di bawah akta dan peraturan sama,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Beliau menambah, kesemua PATI itu turut disenarai hitamkan bagi mencegah mereka dari memasuki semula ke negara ini.

“Program penghantaran pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan membenteras PATI yang dijalankan oleh JIM Perak bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap,” katanya lagi.