500 pelajar B40 sekitar Padang Rengas terima bantuan Kasih MADANI Kembali Ke Sekolah 2025

Berita Perak

PADANG RENGAS: Lebih 500 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar kawasan Parlimen Padang Rengas menerima bantuan persekolahan menerusi program majlis Sumbangan Kasih MADANI Kembali Ke Sekolah 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Beluru, dekat sini hari ini.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, program bantuan barangan kelengkapan sekolah dan wang tunai itu melibatkan 31 buah sekolah rendah dan menengah terpilih di kawasan tersebut.

Menurutnya, inisiatif adalah dari Pejabat Setiausaha Politik Kementerian Kewangan dengan kerjasama daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR), Yayasan MyPrihatin, Farm Fresh dan Persatuan Pergerakan Amal Belia (PPAB) Padang Rengas.

“Bantuan ini kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing.

“Diharapkan sumbangan ini juga dapat membantu meningkatkan minat mereka untuk ke sekolah serta sebagai pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperoleh keputusan cemerlang,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian itu di sini hari ini.

Muhammad Kamil berkata, kesemua mereka juga menerima wang tunai bernilai RM100 setiap seorang, beg sekolah dan set kelengkapan alat tulis termasuk susu daripada Farm Fresh.

“Usaha murni YBR, Yayasan MyPrihatin, Farm Fresh dan PPAB ini amat dihargai dan merupakan satu contoh tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang murni kepada masyarakat.

“Walaupun dilihat kecil namun sedikit sebanyak kita dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.