SUNGAI SIPUT: Kebajikan pendidikan di kawasan Parlimen Sungai Siput diteruskan pada tahun ini dengan agihan sumbangan pendidikan sebanyak RM267,000 kepada 50 buah sekolah.
Menurut Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam, peruntukan berkenaan merupakan inisiatif daripada kerajaan Malaysia Madani bagi tahun 2025.
Katanya lagi, 25 Sekolah Kebangsaan, lapan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, sembilan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, satu Sekolah Menengah Agama dan tujuh Sekolah Menengah diberikan sumbangan pendidikan mengikut bilangan pelajar.
“Majlis sebegini dilaksana sejak tahun lepas tanpa ada surat permohonan sumbangan kerana ini adalah tanggungjawab Parlimen Sungai Siput menjaga kebajikan pendidikan yang melibatkan 50 buah sekolah.
“Agenda pendidikan adalah matlamat saya di mana seramai 11,600,61 pelajar dengan kekuatan tenaga pengajar seramai 1,248 guru untuk 50 buah sekolah dapat melaksanakan program melibatkan dana tambahan.
“Saya berharap para pelajar di Parlimen ini dapat seiring bersama dengan pelajar di bandar dalam bidang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir Majlis Sumbangan Pendidikan dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Shing Chung Sungai Siput Utara, di sini.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Sabri Abdul Ghani, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Yunos Hussin, Pegawai Khas ADUN Jalong, Voon Kai Cheng, Guru Besar serta Pengerusi PIBG sekolah di Parlimen Sungai Siput.
Sementara itu, dalam majlis sama, pemberian sumbangan pendidikan diberikan kepada Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), seterusnya majlis iftar bersama hadirian yang hadir.