320 peserta ikuti klinik seni budaya tarian dabus di Teluk Intan

Berita Perak

IPOH: Jabatan kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak mengadakan klinik dua hari Seni Budaya Tarian Dabus – Program Citra Warisan Budaya Cempaka Sari di sekolah-sekolah sekitar Teluk Intan.

Program pada 5-6 Jun 2024 itu merupakan aktiviti utama yang turut serta dalam Temasya Budaya @ Negeri Perak 2024 di Dataran Menara Condong, Teluk Intan pada 27-30 Jun 2024 nanti.

Pengarah JKKN Perak, Abd Rashid Abdullah berkata, enam buah sekolah iaitu SMK Convent, SMK Seri Setia, SMK Raja Muda Musa, SMK Sultan Abdul Aziz, SMK Abdul Rahman Talib dan SMK Kg Bahagia mengambil bahagian dalam klinik itu yang melibatkan 320 orang pelajar.

“Klinik Seni Budaya yang dilakukan ini merupakan usaha untuk memperkenalkan seni tarian dabus kepada golongan muda.

“Peringkat umur ini perlu didedahkan agar seni tari ini tidak dilupakan dan menjadi sebahagian daripada identiti budaya yang diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini

Menurutnya, dengan pengenalan awal itu, diharapkan golongan muda dapat menghargai, mempelajari dan seterusnya memelihara seni tarian dabus, sekali gus memastikan kelestarian warisan budaya terjamin untuk masa hadapan.

Dabus asalnya adalah seni mempertahankan diri yang mengutamakan kepahlawanan, kecerdasan, ketangkasan, dan keperwiraan.

Kini, ia adalah tarian tradisional Perak yang telah bertahan lebih 300 tahun.

Abd Rashid berkata, walaupun tidak popular di kalangan rakyat, usaha pewaris seni itu memastikan dabus tetap diminati dan dihayati, mencatat sejarah sebagai salah satu tarian tradisional terunggul di negeri Perak.

“Usaha ini turut mendapat sokongan padu daripada pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak, Persatuan Kebudayaan Daerah Kinta, Persatuan Kebudayaan Daerah Hilir Perak,” ujarnya.

Katanya, JKKN Perak turut menerima perkongsian ilmu daripada satu-satunya pewaris Dabus – Yong Timah (Kumpulan Kesenian Dabus Tanjung Bidara, Batu Gajah) yang turut turun padang bagi berkongsi ilmu kepada generasi muda.