SUNGAI SIPUT: Seramai 290 ketua isi rumah keluarga menerima sumbangan sebanyak RM300 susulan bencana banjir di daerah ini pada Oktober lalu.
Bantuan sumbangan itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan baru-baru ini.
Menurut Kesavan, pemberian sumbangan itu diberikan kepada setiap isi rumah yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika itu.
“Banjir pada Oktober lalu di Sungai Siput boleh dikatakan yang terburuk sejak kali terakhir tahun 2014.
“Banyak kampung di sini yang terjejas banjir sehingga memaksa mereka berpindah ke PPS buat sementara waktu,
“290 ketua isi rumah masing-masing terima RM300 yang melibatkan jumlah keseluruhan RM90,000,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bencana banjir Parlimen Sungai Siput di Arena Pavilion Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput.
Antara kampung yang terlibat seperti Kampung Lintang, Kampung Lasah, Kampung Felda, Kampung Ara, Kampung Tok Sirat, Kampung Pulau Mentimun, Kampung Jong, Kampung Chenain dan Kampung Bawong.
Katanya lagi, bantuan itu turut diberikan kepada lebih 60 keluarga Orang Asli yang turut menjadi mangsa banjir.



