11,000 bungkusan Juadah Hari Raya diedar kepada pasukan beruniform Perak

Berita Perak

IPOH: Sebanyak 11,000 bungkusan juadah hari raya diedarkan kepada pasukan beruniform di seluruh negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, juadah itu bukan sahaja diberikan kepada pasukan keselamatan, sebaliknya badan-badan beruniform lain.

Menurutnya, ia termasuk Jabatan Kesihatan, RELA, kastam dan Imigresen yang akan bertugas pada perayaan Aidilfitri.

“Ia sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada semua pasukan keselamatan dan pasukan badan beruniform yang bertugas di sepanjang masa Aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian juadah hari raya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Beliau berharap sumbangan itu sedikit sebanyak menyerikan suasana Aidilfitri anggota badan beruniform yang perlu bertugas di Hari Raya kali ini.

Saarani berkata, ramai sukarelawan daripada pelbagai pertubuhan mengambil bahagian di dalam kerja-kerja pembungkusan makanan berkenaan.

Ia termasuk Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Laut, Udara dan Darat, Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Perak dan Briged Utara Perak, Persatuan Wanita Prihatin, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat (PERISMA), Pasukan 2 Briged dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).