Wakil UPSI Terpilih Qari-in-Residence di Universiti of Oxford, Education Malaysia Australia

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Dua pelajar tahfiz dan seorang pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpilih dalam Program Qari-in-Residence di Universiti of Oxford, United Kingdom dan di Education Malaysia Sydney, Australia pada Ramadan ini.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, menerusi kerjasama Program Education Mobility Malaysia – United Kingdom – Australia, mereka akan menjadi tenaga pengajar agama dan Imam Solat Terawih di Pusat Pengajian Islam Oxford (OXCIS) United Kingdom, Dewan Malaysia Sydney dan Dewan Malaysia Melbourne, Australia sepanjang bulan Ramadan.

Selain itu, katanya, ketiga-tiga mereka akan membabitkan diri dalam pelbagai program pendidikan, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan khidmat komuniti yang akan memberi nilai tambah kepada pelajar dan pegawai.

Beliau percaya program itu bakal melahirkan golongan huffaz profesional yang bersifat global, melangkaui bilik darjah, dan mampu mengangkat martabat al-Quran dari semua sudut.

“Saya menzahirkan rasa syukur dan bangga kerana ini adalah satu pencapaian dan pengiktirafan Universiti of Oxford, universiti terbaik dunia dan pejabat Education Malaysia Australia kepada UPSI dan Malaysia,” katanya.

Beliau juga berharap ketiga-tiga wakil UPSI itu dapat menjadi contoh dan melaksanakan tugas dengan cemerlang sepanjang berada di sana.

Sementara itu Felow Pengajian Islam di Universiti Oxford, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan merealisasikan program itu.

“Alhamdulillah, program Oxford ini adalah dibawah naungan Raja Permaisuri Perak selaku Canselor UPSI. Sebelum ini Imam-imam yang terpilih untuk ke luar negara adalah daripada kalangan huffaz kelolaan JAKIM. Manakala untuk tahun ini penghormatan diberikan kepada kalangan hufaz dari UPSI,” ujarnya.

Dua pelajar berkenaan dari program pengajian Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan ialah Ikram Hakim Mat Nasir yang akan menjadi ‘Qari-in-Residence 1445H’ di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom; Nasrul Zikri Mohd Nazri di Dewan Malaysia Melbourne, Australia manakala Pegawai Tadbir Pusat Islam UPSI, Muhammad Majdan Ismail, akan ditempatkan di Dewan Malaysia Sdyney, Australia.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (HEPA) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin yang menyampaikan replika tiket penerbangan di Pusat Islam UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah berkata selain menjadi tenaga pengajar, mereka juga akan berperanan sebagai duta kecil UPSI dan Malaysia di sana.

“Selain itu, mereka berpeluang untuk menyertai program-program dakwah kepada komuniti Islam setempat,” ujar beliau.