Video tular: Tidak puas hati dengan pihak pengurusan, lelaki mengamuk pecah pintu kaca MPTI

Berita Perak

IPOH: Seorang lelaki mengamuk dan bertindak memecahkan pintu kaca bangunan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) kerana tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, sehingga tular di media sosial, tengahari Khamis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komusioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi, apabila pusat kawalan daerah (DCC) IPD Hilir Perak menerima maklumat berhubung kejadian seorang lelaki mengamuk dan merosakkan harta benda awam di MPTI.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pasukan peronda Teluk 5A telah diarahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, suspek telah pun ditahan oleh kakitangan MPTI.

“Suspek turut terlibat dalam pertengkaran mulut dengan kakitangan MPTI berkenaan kerana rasa tidak puas hati terhadap pengurusan MPTI,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek telah datang ke lokasi menaiki motosikal dan meletakkannya di hadapan bangunan MPTI.

Menurutnya, suspek kemudian membawa sebatang tukul besi dan memecahkan kedua-dua pintu kaca utama bangunan tersebut.

“Selepas kejadian, suspek cuba meninggalkan lokasi menuju ke kedainya di Jalan Bandar, Teluk Intan namun semoat ditahan untuk diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya.

Bakri berkata, suspek tidak berpuas hati dengan tindakan MPTI memasang khemah di hadapan kedainya semasa sambutan perayaan Chitra Pournami yang disambut setiap tahun, kerana menghalang pandangan pelanggan terhadap kedainya yang menjalankan perniagaan membaiki jam.

Katanya, suspek juga mendakwa telah membuat beberapa aduan kepadak MPTI serta laporan polis namun tiada tindakan diambil.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda awam

Terdahulu tular video berdurai 1 minit 30 saat, memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal bertindak agresif dengan memecahkan pintu kaca bangunan MPTI.