Tular kenderaan menteri ekori ambulan di Lebuhraya Utara Selatan, polis ambil keterangan pemandu

Berita Perak

IPOH: Polis telah mengambil keterangan pemandu kepada menteri ekoran video tular kenderaan rasmi menteri berkenaan mengekori ambulan yang dalam perjalanan ke lokasi kemalangan, dipercayai di Kilometer 305 Lebuhraya Utara Selatan, pada Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis mengambil keterangan pemandu itu hari ini dan akan memanggil saksi awam lain bagi membantu siasatan.

“Pihak polis juga akan mendapatkan rakaman CCTV pihak PLUS dan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) ambulan yang terbabit bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, ujarnya, pihak polis telah mengesan satu hantaran yang tular di media sosial berkaitan kejadian tersebut yang dipercayai berlaku bermula di Kilometer 305 Lebuhraya Utara Selatan, kira-kira pukul 10.27 pagi, 3 Februari lalu.

Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat bagi menyiasat kejadian tersebut di bawah Peraturan 9 (2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Siasatan awal yang dilakukan pihak polis mengesahkan bahawa kenderaan yang ditularkan telah
dipandu oleh seorag lelaki yang bekerja sebagai pemandu kepada menteri,” ujarnya.

Menurutnya, pada hari kejadian, pemandu berkenaan bersama menteri dalam perjalanan ke sebuah program kebajikan yang akan dilangsungkan di Rumah Pangsa Jalan Silang, Ipoh, namun tidak sempat kerana kesesakan yang berlaku.

Justeru, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan kerana ia masih dalam siasatan.

Pihak polis juga menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut agar menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Penguatkuasa Trafik, IPD Ipoh, DSP Koo Boon di talian 016-417 3222 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, beliau akan memberikan penjelasan mengenai isu berkenaan.

“Itu nanti kita akan cakap, penjelasan akan diberikan oleh saya nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Pembayaran Terbuka Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini hari ini.

Pada Selasa, Timbalan Ketua Pemuda MCA Chong Yew Chuan berkata Loke perlu mendedahkan identiti menteri berkenaan bagi membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang tanpa ‘memilih bulu’ dan memelihara nama baik kerajaan.