Tiga pekerja lemas, empat selamat, terperangkap dalam lubang pembentung

Berita Perak

LENGGONG: Tiga pekerja lemas manakala empat rakan mereka terselamat selepas terperangkap di dalam lubang pembetung semasa melakukan kerja–kerja pembersihan di sebuah resort baharu yang sedang dibina, di Kampung Ibol, Sumpitan, dekat sini, hari ini.

Dua lelaki tempatan berusia 29 dan 37 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lelaki warganegara Indonesia meninggal dunia di hospital.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengena kejadian itu pada 10.08 pagi.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, ketua operasi dimaklumkan bahawa lima orang pekerja telah dibawa keluar oleh orang awam dan dihantar ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk menerima rawatan.

“Di samping itu terdapat dua orang pekerja masih lagi terperangkap di dalam lubang pembetung tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sabarodzi berkata, saiz lubang pembetung tersebut dianggarkan lebih kurang 5 meter (17 kaki) panjang, 4 meter (13.5 kaki) lebar dan 2.5 meter (8 kaki) dalam.

Menurutnya, ketua operasi melaksanakan sizeup seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) lengkap berserta alat pernafasan dan turun ke dalam pembentung untuk mengeluarkan mangsa.

“Anggota kemudiannya mengikat mangsa dengan menggunakan tali dan mangsa ditarik keluar dari lubang pembetung,” ujarnya.

Menurutnya, setelah berjaya dikeluarkan, mangsa kemudiannya diperiksa oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengesahkan kedua–duanya telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat kedua–dua mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanam II (KUP) Abdul Rahim Abdul Manan tamat jam 12.25 tengahari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut.