GERIK: Seorang lelaki warga emas dan dua lelaki warga asing ditahan setelah disyaki menyimpan dan menjual minyak petrol Ron 95 di Pengkalan Hulu pada Selasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya menerima kes serahan dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18
Pengkalan Hulu pada jam 8 pagi.
“Pasukan penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Gerik telah menahan semula seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun yang disyaki mengumpul dan menjual kepada dua lelaki warga asing.
“Masing-masing berumur 30 dan 41 tahun dan pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga suspek itu tidak memiliki sebarang lesen atau permit menyimpan dan menjual barang kawalan berjadual iaitu minyak petrol Ron 95.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemui anggaran sebanyak 650 liter cecair disyaki minyak petrol Ron 95 dan dua kenderaan pendaftaran asing.
“Serta peralatan lain seperti 28 tong plastik, mesin pam, wayar hose dan lain-lain telah disita,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kamalludin berkata, nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM11,432.50.
Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.