TIC sedia kongsi kepakaran, pengalaman wujud taska di GLC

Berita Perak

KAMUNTING: Taj International College (TIC) akan bekerjasama dari sudut kepakaran dan mendukung cadangan mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Pengerusi Eksekutifnya, Tina Tajuddin berkata, pihaknya akan membantu dalam merealisasikan hasrat tersebut demi pembangunan wanita.

“Kita akan membimbing pihak yang berkenaan, di samping bekerjasama mewujudkan taska di GLC.

“TIC memang ada pengalaman, bakat serta tenaga yang berkelayakan jadi tidak sukar untuk merealisasi cadangan ini.

“Sudah tentu kita akan bekerjasama dari sudut kepakaran, kewujudan taska banyak ruang boleh dibantu.

“Saya perlu jumpa Exco Wanita, Datuk Salbiah Mohamed terlebih dahulu bagi berbincang lanjut mengenai perkara itu,” katanya.

https://kelabwanitaikon.com/vote-awim2425/ Jangan lupa Undi Wanita IKON PERAK sebagai IKON Wanita Malaysia

Terdahulu, media melaporkan kerajaan negeri bersetuju supaya semua GLC negeri mewujudkan taska di premis masing-masing khusus untuk kakitangan mereka.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini hanya terdapat satu sahaja taska yang diwujudkan untuk kakitangan kerajaan negeri menghantar anak masing-masing iaitu di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak.

Dalam pada itu, Tina menambah, pengalaman yang ada TIC selama ini dapat dijadikan sebagai panduan bagi memulakan usaha tersebut.

“TIC ada dua taska dan tadika setakat ini, kami juga sediakan Progam Pendidikan Awal Kanak-kanak.

“Sudah tentu bila ada taska di GLC, ia membantu kakitangan mereka khususnya wanita, sekurang-kurangnya mereka lebih produktif dan memudahkan urusan harian,” katanya lagi.