Temasya Seni Budaya @ Perak 2024 rancakkan Tahun Melawat Perak

Berita Perak

TELUK INTAN: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak bersama Majlis Kebudayaan Negeri Perak dengan sokongan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak serta Majlis Perbandaran Teluk Intan menganjurkan Temasya Budaya @ Negeri Perak 2024 pada 27 hingga 30 Jun ini.

Menurut kenyataan JKKN Perak, program itu antara lain bertujuan mengangkat kepelbagaian seni, budaya, warisan dan pelancongan yang terdapat di negeri Perak dengan kepelbagaian etnik dan kaum yang meliputi budaya, etnik, amalan tradisi yang cenderung untuk kesatuan kebudayaan
yang bersifat nyata.

Katanya, temasya itu secara langsung menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa untuk hadir bagi menyaksikan secara dekat pengisian seni budaya warisan dan pelancongan di negeri Perak.

“Temasya ini bakal menyaksikan pelbagai aktiviti menarik yang menghimpunkan seni dan budaya pelbagai kaum di Malaysia,” kata kenyataan itu hari ini.

Antara aktiviti utama yang dijadualkan adalah Malam Kerohanian Bersama Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias dan perasmiam dengan persembahan oleh artis dan kumpulan terkenal seperti
Dayang Nurfaizah dan Shazreen Shaharum di samping kumpulan seni daripada pelbagai kaum.

Selain itu, turut diadakan Festival Homestay Perak, Pameran Agensi, Jualan Vendor, Klinik Seni Budaya dan Busana Run.

Menurut kenyataan itu lagi, beberapa pertandingan turut diadakan sepanjang temasya empat hari tersebut, antaranya
Kebaya Cilik, Hiasan Kolam, Mewarna Keluarga MADANI, Serikandi Puteri Perak, Perak Idol, Silat Seni, Tarian Rampaian, Dabus Kreasi, Mobile Grafi, Gendang Urumi dan Sambey Perak.

Turut diadakan acara sampingan seperti Tarian Singa, Silambam, Rebana Perak, Wushu, Kaligrafi Cina, Nyanyian Pensol, Interaktif Busana Pelbagai Kaum, Adat Berjojak, Sukan Rakyat, Demonstrasi Tekat Benang Emas, Pertandingan Tulisan Jawi dan Pantun Spontan.

“Temasya Budaya @ Negeri Perak 2024 menjanjikan pengalaman yang unik dan menarik,
merangkumi pelbagai aspek seni dan budaya,” ujarnya.