Suspek bunuh isteri direman seminggu

Berita Perak

BATU GAJAH: Suspek lelaki yang disyaki membunuh isterinya di sebuah hotel di sini pada Khamis direman selama seminggu bermula sehingga 27 Jun depan.

Permohonan reman berkenaan dibenarkan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin selepas lelaki berusia 36 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah di sini pada Jumaat.

Suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 8.33 pagi dengan berpakaian baju melayu dan seluar lokap berwarna jingga sebelum dibawa keluar 14 minit kemudian.

Penganggur itu direman bagi membantu polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Terdahulu media melaporkan lelaki terbabit menyerah diri di Balai Polis Batu Gajah jam 2 petang selepas dipercayai membunuh isterinya di bilik sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos, di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad dilaporkan berkata, suspek disyaki membunuh mangsa yang berusia 32 tahun kerana tidak puas hati apabila wanita itu meneruskan tuntutan fasakh.

Hasil siasatan pihak polis telah menemui susuk badan mangsa dengan kesan tikaman di dalam bilik hotel dan sebilah pisau turut dijumpai di tempat kejadian.