IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menganjurkan Sesi Townhall Pelancongan Bandar Raya Ipoh 2026–2030 sebagai platform strategik untuk merangka hala tuju serta memperkukuh strategi pembangunan pelancongan bandar raya secara mampan, inklusif dan berdaya saing.
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, sektor pelancongan bukan hanya berfungsi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, malah berperanan penting sebagai medium pembinaan peradaban, kesejahteraan sosial serta pengukuhan jati diri masyarakat bandar.
Sehubungan itu, katanya, pembangunan pelancongan Bandar Raya Ipoh perlu dirangka selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menitikberatkan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sebagai teras pembangunan negara.




Menurutnya, di bawah kerangka Pelancongan Perak Sejahtera 2030, Bandar Raya Ipoh memainkan peranan strategik sebagai pintu masuk utama pelancong ke Negeri Perak, pusat pelancongan warisan dan peradaban Nusantara, serta pemangkin kepada pembangunan koridor pelancongan bertaraf global.
“Keunikan Bandar Raya Ipoh yang merangkumi bangunan warisan kolonial, seni jalanan, lorong-lorong kreatif, kepelbagaian gastronomi serta kekuatan komuniti setempat menjadikan bandar ini sangat berpotensi untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan berasaskan pengalaman,” katanya ketika berucap pada sesi itu di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd. Rahman; Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Odzman Abdul Kadir; Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Perak, Muhammad Aminuddin Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Berhad, Suhaimi Hassan Shari.
Zamakhshari berkata, bagi tempoh 2026 hingga 2030, MBI komited untuk melaksanakan beberapa fokus utama, antaranya memperkukuh usaha promosi melalui kolaborasi bersama usahawan tempatan, mempelbagaikan produk dan aktiviti pelancongan bandar dengan penglibatan komuniti serta golongan kreatif.
Selain itu, katanya, ia juga memberi fokus untuk memperkasa kawasan bandar lama, serta mengoptimumkan penggunaan teknologi digital seperti kod QR pelancongan dan peta digital bagi meningkatkan pengalaman pelawat.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menarik lebih ramai pelancong, malah untuk meningkatkan kualiti hidup warga Ipoh serta mewujudkan peluang ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
Sesi townhall itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, pemain industri pelancongan, rakan strategik serta badan bukan kerajaan, bagi mendapatkan pandangan, maklum balas dan cadangan ke arah memastikan pembangunan pelancongan Bandar Raya Ipoh yang berdaya tahan dan berterusan.
MBI yakin bahawa melalui iltizam bersama dan kerjasama erat semua pihak, Bandar Raya Ipoh berupaya muncul sebagai bandar pelancongan warisan dan kesejahteraan yang unggul, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Perak Sejahtera 2030.





