SUNGAI SIPUT: Lazimnya setiap kali sambutan Aidilfitri diadakan, khidmat katering digunakan untuk menyediakan pelbagai hidangan.
Bukan sahaja di taman-taman perumahan, malah di kampung-kampung juga, semangat gotong royong untuk menyediakan juadah semakin dilupakan.
Bagaimanapun, Wanita UMNO Bahagian Sungai Siput cuba menyemarakkan kembali semangat gotong royong ketika menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Masyarakat Orang Asli di Pos Bawong, pada Selasa.
Ketuanya, Datuk Zaitun Ab Rahman berkata, semua makanan dan minuman yang dihidangkan pada majlis itu adalah hasil air tangan jawatankuasa wanita sendiri.
“Untuk penyediaan makanan itu saya mencabar kepimpinan jawatankuasa saya untuk bergotong royong kerana kita tahu hari ini semangat gotong royong ni dah makin berkurangan.
“Jika jamuan hari raya tu mestilah kita cari katering, cari pembekal dan sebagainya.
“Tapi lain pada hari ini yang saya nyatakan terzahirlah hasrat saya untuk melihat semula semangat gotongroyong itu,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Turut hadir Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Menurut Zaitun, antara hidangan yang disediakan ialah mee goreng, nasi goreng, pulut kuning, rendang ayam, cucur bawang dan nasi himpit.
Malah, katanya, khemah untuk majlis itu juga disediakan secara gotong royong dengan bantuan penduduk setempat.


