Selisih faham di pesta mainan: Polis minta pemilik Facebook ‘Kelvin Lim’ tampil bantu siasatan

Berita Perak

TAIPING: Polis meminta kerjasama orang ramai serta pemilik profile Facebook ‘Kelvin Lim’ untuk tampil menyalurkan maklumat berhubung perselisihan faham di pesta mainan di Simpang, di sini baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail, pihaknya mengesan video klip yang tular di Facebook pada Jumaat jam 8 pagi.

Ujarnya, video klip berdurasi 1 minit 2 saat di Facebook yang menunjukkan seorang lelaki selisih faham dengan pekerja di pesta mainan susulan anak dan isterinya terjatuh dari alat permainan.

“Ekoran daripada kejadian itu, pihak polis mohon pemilik profile Facebook bernama ‘Kelvin Lim’ dan orang awam yang melihat kejadian tampil ke balai polis berdekatan.

“Ia bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan memandangkan berlaku perlakuan jenayah dalam video tersebut.

“Polis menyeru kepada masyarakat Taiping khususnya, terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.