IPOH: Sebuah rumah dan empat buah kenderaan milik sebuah keluarga musnah dalam kebakaran di Kampung Chopin Kiri, Parit, pada petang Jumaat.
Bagaimanapun, kebakaran itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 3.47 petang.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B berkeluasan 30 X 50 kaki, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga buah motosikal yang kesemua terbakar 90 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, Ketua Operasi melaksanakan sizeup seterusnya mengaplikasikan Konsep RECEO dengan mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran hos, 500 kaki, dua pancutan bersumberkan air dari tangki jentera dan pili bomba sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Operasi yang disertai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit dan Seri Iskandar terkawal pada jam 4.36 petang.
Operasi itu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Jamidi Zainuddin
tamat sepenuhnya jam 5.35 petang.
Foto JBPM Perak