Runtuh sambungan rumah: Penduduk RPA Liman Kati rayu campur tangan kerajaan

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Penduduk di rancangan perumahan awam (RPA) Liman Kati, di sini merayu campur tangan kerajaan susulan notis arahan bagi meruntuhkan sambungan di bahagian belakang rumah mereka.

Menurut wakil penduduk, Zaini Hasan, 65, notis itu dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) serta Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar baru-baru ini.

Wakil penduduk, Zaini Hasan berkata, isu tersebut membabitkan sebanyak 21 buah rumah di blok C dan D, RPA Liman Kati.

Jelasnya, kebanyakan daripada mereka sudah menduduki rumah tersebut lebih 30 tahun, malah rata-rata daripadanya warga emas dan dalam kalangan berpendapatan rendah.

Selain itu, katanya, notis meruntuhkan binaan tambahan di belakang rumah itu dibuat susulan pihak pemaju yang mahu membangunkan projek perumahan serta jalan.

“Sambungan yang dimaksudkan terpaksa dibuat memandangkan ahli keluarga sudah ramai dan membesar.

“Kami semua golongan B40 terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, bekerja sendiri dan penoreh getah.

“Sambungan itu dibuat sedikit demi sedikit dengan kos hampir RM60,000, kami semua bukan senang sebab itulah kami tinggal di RPA Liman Kati.

“Semasa kerja sambungan sebelum ini, tiada pula pihak MPKK serta Pejabat Daerah dan Tanah halang.

“Tiada notis dan tiada bantahan, ada juga pelan sambungan yang diluluskan sendiri oleh Yang Dipertua MPKK ketika itu,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Dalam pada itu, dia mendakwa, pelbagai usaha dilakukan sebelum ini bagi menyelesaikan isu tersebut, namun semuanya menemui jalan buntu.

“Kami sudah bersemuka dengan ramai pihak termasuk menghantar surat kepada Perdana Menteri, Menteri Besar, Exco Perumahan dan Yang Dipertua MPKK.

“Malangnya, rayuan dan permohonan kami tidak mendapat respon baik, malah tiada maklum balas sehingga kini, kami kecewa… kepada siapa lagi kami mahu merayu?.

“Semoga pihak di atas dapat mendengar rayuan ini, kami sanggup sekiranya cukai tanah, cukai pintu dan sebarang denda dikenakan asalkan sambungan rumah tidak diruntuh,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Isa Kulop Hamzah, 80, yang merupakan pesara guru turut berharap supaya suara mereka didengar.

“Kebanyakan yang terbabit dalam arahan meruntuhkan sambungan ini dalam kalangan warga emas dan tidak mampu.

“Lebih-lebih lagi sambungan itu membabitkan bahagian penting seperti tandas, dapur dan sebagainya, kalau diruntuhkan memang menyusahkan penduduk.

“Sepatutnya kalau nak buat pun jangan sampai meruntuhkan sambungan rumah, itu saja, tolonglah faham situasi kami,” katanya.

Zuraida Abd Rahim, 60, pula berkata, masalah itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada para penduduk yang terkesan.

“Saya mengharapkan pihak berkuasa bertimbang rasa, kami rakyat di bawah yang susah.

“Ramai tidak berkemampuan dan ramai warga emas, ibu tunggal serta bekerja sendiri. Harapan saya dan penduduk di sini supaya pemimpin bantu serta kasihanilah kami,” katanya.