Rombakan pimpinan PKR Perak tidak libatkan pengerusi, timbalan

Berita Perak

IPOH: Rombakan Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Perak tidak akan melibatkan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Tan Kar Hing berkata, dua jawatan utama itu kekal diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang juga Naib Presiden PKR manakala Mohamad Hairul Amir Sabri sebagai timbalan pengerusi.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan jawatan lain seperti naib pengerusi, ketua wanita dan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan diputuskan dalam masa terdekat seawalnya April depan.

“Setakat ini jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi dikekalkan, selebihnya bergantung kepada keputusan pengerusi.

“Kami akan adakan sesi pemukiman pada 8-10 Mac depan di Pangkor yang antara lain turut membincangkan posisi penting serta langkah-langkah strategik yang perlu diatur untuk merampas kembali kerusi yang gagal mencapai kemenangan

“Jadi rombakan jadi atau tidak terpulang kepada pengerusi nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Gopeng itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan menambah kapasiti kekuatan organisasi parti dengan mewujudkan beberapa jawatankuasa baharu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Katanya, persediaan yang diatur tidak hanya tertumpu di kerusi ditandingi, tetapi lebih penting menguatkan kerjasama antara kompenan dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, PKR membuka ruang seluas-luasnya untuk perbincangan antara PH dan BN.

“Hubungan yang kukuh itu sangat penting supaya dapat bina kepercayaan antara parti dan saya jangka mungkin akhir tahun ini kita akan mulakan proses rundingan kerusi untuk pilihan raya,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, PKR melakukan rombakan terhadap Majlis Pimpinan Negeri di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Dalam perkembangan lain, Kar Hing berkata, PKR Perak akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan JKKK Tanjung Piandang, Parit Buntar pada 3 Mac depan.

Menurutnya, antara pemimpin parti kompenan yang hadir ialah Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon; Pengerusi MIC, Datuk V Elango dan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat.

Beliau menjangkakan lebih 2,000 orang akan hadir ke majlis itu yang bermula jam 7 malam hingga 11 malam.