RM599 Harga Maksima Tiket Penerbangan Ikut Kemampuan Kerajaan

Berita Perak

BATU GAJAH: Penetapan RM599 harga maksimum tiket penerbangan kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan adalah berdasarkan kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan juga tidak boleh menekan syarikat penerbangan untuk menyerap harga tiket kerana dibimbangi akan mengalami kerugian dan akhirnya terpaksa menghentikan operasi.

Sehubungan itu, katanya, penumpang perlu membuat perancangan untuk mendapatkan harga murah, termasuk membeli sehingga enam bulan lebih awal.

“Soalnya ialah tak ada satu harga yang akan memuaskan hati semua. Kita letakkan harga itu atas kita lihat implikasi kewangan yang kita boleh mampu tampung.

“Jadi seperti yang saya katakan itu harga maksima, dia bukannya semua tiket dijual pada harga itu.

“Jadi itu yang kita mampu buat setakat ini sebab ini seperti yang saya telah berulang kali saya nyatakan, saya tak ada peruntukan tambahan untuk inisiatif ini.

“Saya terpaksa cari jalan bagaimana nak menampung perbelanjaan ini sebab kita letak maksima harga maksima ini baki ataupun kekurangan itu perlu ditampung oleh Kementerian Pengangkutan kepada syarikat-syarikat penerbangan.

“Sekiranya saya minta syarikat penerbangan untuk serap kos ini, mereka akan akan kurangkan kapasiti, siapa nak beroperasi kalau mereka rugi,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Akademi KTM Kali Ke-6
di Akademi KTM, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Loke mengumumkan kerajaan menetapkan RM599 harga maksimum tiket penerbangan kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tempoh perjalanan tiga hari menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, ia antara lain bagi membantu melancarkan percutian orang ramai balik beraya ke kampung halaman masing-masing pada April nanti.

Ekoran daripada beberapa pihak memohon beberapa Kementerian Pengangkutan menimbangkan cadangan mengambil kira bilangan ahli keluarga dan memanjangkan daripada tiga hari kepada dua minggu.