RM2 juta bantuan sara diri, kecemasan mahasiswa Perak 2024

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak melancarkan bantuan sara diri dan kecemasan bagi mahasiswa anak kelahiran negeri itu untuk tahun 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu disediakan untuk meringankan beban kewangan mahasiswa kurang berkemampuan dan yang menghadapi situasi kecemasan luar jangka sepanjang menuntut di institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, bantuan sara diri disediakan bagi membantu menampung perbelanjaan sepanjang pengajian seperti kos kenderaan, sewa rumah, makanan, percetakan bahan pembelajaran dan sebagainya.
 

“Bantuan kecemasan pula disediakan bagi membantu mahasiswa yang ditimpa musibah seperti bencana alam, kemalangan, masalah kesihatan, kecurian dan perkara di luar jangka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan inisiatif berkenaan di pejabatnya di sini, hari ini.
 

Menurut beliau, tahun lalu, sebanyak RM1.82 juta telah disalurkan kepada 3,451 mahasiswa bagi bantuan sara diri manakala bantuan kecemasan telah membantu seramai 31 mahasiswa dengan peruntukan sebanyak RM36,000.
 

Katanya, permohonan inisiatif akan diuruskan oleh Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.

Tambahnya, permohonan bantuan sara diri dibuka dalam dua fasa iaitu pertama bermula 17 April hingga 17 Mei manakala fasa kedua dijangka bermula Ogos atau September.

Permohonan bagi bantuan kecemasan pula akan dibuka sehingga bulan Oktober 2024.

 
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak di pautan www.eheyns.com.my