PUO, Samsung kolaborasi bentuk sinergi kecemerlangan graduan

Berita Perak

IPOH: Politeknik Ungku Omar (PUO) melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya berkolaborasi dengan Samsung Malaysia Electronics melalui penubuhan Samsung Edu Centre dan Samsung Hybrid Classroom.

Kerjasama itu telah dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian di kampus utama PUO di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pelanggan, Teng Kah Wee dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat Samsung Malaysia Electronics, Datuk Roh Jae Yeol.

Menurut kenyataan PUO, Samsung telah menjadi rakan kolaborasi strategik PUO sejak tahun 2023.

Pada majlis itu, pihak Samsung turut menyumbangkan beberapa peralatan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar Asasi TVET melalui Samsung Edu Centre dan Samsung Hybrid Classroom di mana kuliah dapat dilaksanakan menggunakan teknologi terkini secara interaktif.

Dalam majlis yang sama, PUO turut meraikan seramai 91 pelajar Asasi TVET kohort pertama yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka melalui Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar Asasi TVET PUO.

Menurut kenyataan itu lagi, para pelajar juga diraikan dengan pelbagai anugerah kecemerlangan bagi mengiktiraf pencapaian pelajar yang telah berjaya diraih dalam bidang akademik, kokurikulum, kepimpinan serta sahsiah diri.

Megat Sany dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan kepada kepada pelajar Asasi TVET yang telah berjaya menamatkan pengajian di PUO dan optimis agar momentum kecemerlangan dapat diteruskan bagi pengajian di Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Menurutnya, sinergi di antara Politeknik dan MTUN akan dapat memperkukuh ekosistem TVET khususnya dari segi laluan pengajian yang spesifik serta penawaran program TVET kepada pelajar yang cenderung dalam bidang teknikal.

Turut hadir ke majlis apriasi itu ialah Pengarah Kanan Akademik JPPKK, Mohd Noor Shahudin dan Pengarah-pengarah Bahagian Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta Pengarah-Pengarah Politeknik serta Kolej Komuniti Zon Perak.