TAPAH: Hampir 14,000 orang pengundi muda akan menjadi penentu kemenangan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan yakin, calon Barisan Nasional (BN) akan mendapat sokongan daripada majoriti kumpulan tersebut.
Menurutnya, BN Tapah bernasib baik kerana telah sekian lama melaksanakan pelbagai program untuk golongan tersebut.
“Pemuda BN Tapah sentiasa mengadakan program untuk belia di sini, ni satu-satunya parlimen saya berani sebut kita mula sumbangan kepada generasi muda daripada peringkat sekolah.
“Inilah satu-satu parlimen kalau nak pergi semak, apabila mereka sampai di tingkatan lima tiada sumbangan lain (kecuali dari BN),” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa BN Tapah di sini, semalam.
Saravanan berkata, beliau juga telah meminta Pemuda BN Tapah memperbanyakkan lagi program untuk golongan muda, khususnya sepanjang bulan Ramadan
Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, rekod menunjukkan BN Tapah telah memberi khidmat yang cemerlang sejak dahulu lagi.
Menurutnya, seperti MIC, MCA juga akan siapa sahaja calon yang akan diketengahkan dan akan bekerja keras untuk memastikan kemenangannya.
“Walaupun kita berharapan penuh supaya kita dapat merai kemenangan yang terbesar ya dengan majoriti yang paling besar yang mungkin tetapi kita tak boleh ambil mudah tak boleh ambil aa sambil lewa, tak boleh.
“Kita kena kerja keras bahawa untuk menunjukkan kekuatan kita, Barisan Nasional dan kalau dapat sokongan kepada parti komponen dalam PH, itu satu bonus,” ujarnya.
Kerusi DUN Ayer Kuning kosong susulan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin, 59, selepas menyertai perlawanan Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang, akibat serangan jantung, pada Sabtu minggu lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain masing-masing dari Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia dan Pejuang.