Polis kesan kawasan lokasi aktiviti bom ikan di Hulu Perak

Berita Perak

IPOH: Polis telah mengesan kawasan di Daerah Hulu Perak yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti pengeboman ikan, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kira-kira jam 3 petang Isnin, polis dari IPD Gerik bersama sepasukan renjer perhutanan Daerah Hulu Perak telah menemui kawasan kejadian, sama seperti yang ditularkan.

Menurutnya, hasil pemerhatian, disahkan bahawa lokasi tersebut adalah kawasan pertemuan kuala Sungai Mangga dan Sungai Senga di Hutan Simpang Temenggor yang dipercayai telah berlaku aktiviti pengeboman ikan.

“Mana-mana kumpulan atau individu dinasihatkan agar tidak memasuki kawasan hutan simpan tampa permit daripada Jabatan Perhutanan dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, aktiviti menyalahi undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1985) dan Akta Perikanan 1992 kerana melakukan apa-apa kesalahan di dalam kawasan hutan simpan yang diwartakan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di talian 057912222.

Tambahnya, setakat ini pihak IPD Gerik belum menerima apa-apa laporan polis berkaitan kejadian tersebut.

Katanya, siasatan dan tindakan selanjutnya akan dijalankan oleh Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan.

Terdahulu, pihak polis terkesan satu paparan di media sosial berkaitan aktiviti menangkapan ikan yang disyaki menggunakan letupan, yang dikatakan berlaku di kawasan Hulu Perak.