Polis buru lelaki edar kad judi dalam talian, pinjaman wang tanpa lesen di bazar Ramadan

Berita Perak

IPOH: Polis giat mengesan tiga suspek lelaki yang disyaki menjalankan kegiatan menyebar kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Ipoh.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, kegiatan tersebut tular menerusi rakaman yang dibuat di media sosial oleh salah seorang peniaga di bazar tersebut berhubung kegiatan itu.

“Hasil siasatan mendapati terdapat aktiviti tiga lelaki menjalankan kegiatan menyebarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian sejak tiga hari lalu.

“Pada 30 Mac, salah seorang peniaga bazar iaitu di gerai Oppa Zuzu Kitchen telah membuat rakaman kegiatan lelaki tersebut.

“Rakaman berdurasi 1.01 minit itu menunjukan seorang lelaki menyebarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di setiap gerai di bazar tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Yusri menambah, pihaknya telah menemubual pemilik akaun media sosial ‘Oppa Zuzu Kitchen’ yang dikenali dengan nama panggilan ‘Oppa’ mengenai kejadian tersebut.

“Butiran kejadian telah diperoleh dan usaha mengesan suspek disyaki sedang dijalankan.

“Setakat ini tiada laporan polis diterima dari mana-mana pihak dan tindakan masih diteruskan,” katanya lagi.