Polis berkas seorang lelaki ugut, cedera isteri sendiri

Berita Perak

GERIK: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mengugut dan mencederakan isterinya dalam kejadian di Kampung Alai, di sini, pada Sabtu.

Polis turut merampas beberapa barang kes dan sebilah pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, lelaki berusia 41 tahun itu diberkas di rumahnya di kampung berkenaan, kira-kira jam 8.30 malam Ahad.

Menurutnya, kira-kira jam 1.32 pagi Ahad, pihaknya menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Kampung Lalang oleh seorang perempuan berumur 35 tahun berkaitan diugut dan dicederakan oleh suaminya.

“Siasatan awal mendapati pada 13 April, lebih kurang pukul 10.30 malam, semasa mangsa sedang tidur, telah didatangi suaminya dan mengikat kedua-dua tangan mangsa dari arah belakang menggunakan tali sambil memegang pisau.

“Suspek telah menuduh mangsa berlaku curang dan memaksa mangsa untuk mengaku tuduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, suspek turut merentap rantai emas dan gelang sehingga terputus di samping mengoyakkan baju serta menitiskan cecair lilin pada badan mangsa sambil mengugut untuk membakarnya.

Katanya, mangsa bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan berpura-pura untuk ke tandas sambil meminta suspek membuka ikatan.

“Semasa hendak ke tandas, mangsa telah menjumpai serangkai kunci kereta di bahagian dapur rumah.

“Mangsa terus mengambil (kunci) dan melarikan diri dengan menggunakan kereta terus ke balai polis berhampiran untuk membuat aduan,” ujarnya.

Ekoran daripada itu, kata Zulkifli, sepasukan polis telah dihantar untuk menjejaki suspek dan berjaya diberkas di rumahnya di Kampung Alai.

Menurutnya, mangsa kemudiannya pergi ke Jabatan Kecemasan Hospital Gerik bagi mendapatkan rawatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan.