IPOH: Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Perak tahun lalu mencatatkan lebih 1.6 juta pengunjung, meningkat 107 peratus berbanding 800,754 orang tahun 2023.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, nilai jualan pula meningkat 221 peratus daripada RM19.9 juta tahun 2023 kepada RM64 juta tahun lalu.
Menurutnya, sepanjang tahun tahun 2024, KPDN Perak telah berjaya melaksanakan sebanyak 945 program PJRM, berbanding sasaran awal 552 program.
“Tahun 2025 ini kita sasarkan untuk menganjurkan lebih 1,400 program, sekaligus meningkatkan lagi bilangan rakyat yang mendapat manfaat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PJRM Kembali Ke Sekolah di pekarangan Bangunan Persekutuan di sini, hari ini.
Beliau berkata, program itu diadakan di seluruh negeri Perak sempena cuti sekolah yang bermula pada 18 Januari hingga 16 Februari 2025.
Menurutnya, sebanyak 37 program itu telah diatur tahun ini, berbanding 36 tahun lalu.
Katanya, objektif utama program adalah untuk meringankan beban ibubapa bagi menyediakan kelengkapan barangan keperluan harian dan barangan keperluan sekolah anak-anak melalui penawaran jualan pada potongan harga 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran.
“KPDN Perak berharap masyarakat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dapat mengambil peluang mengunjungi PJRM ini supaya dapatberbelanja dengan lebih jimat,” ujarnya.
Maklumat berkaitan PJRM sepanjang tahun ini Perak, boleh diperolehi dengan melayari laman rasmi KPDN dan menjadi pengikut kepada akaun media sosial rasmi utama KPDN Perak di Facebook dan TikTok.



