PGA rampas jongkong aluminium, peralatan hampir RM12 juta

Berita Perak

BATU GAJAH: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas jongkong aluminium dan peralatan bernilai hampir RM12 juta dalam serbuan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan 4, Pusing, pada Rabu.

Menurut Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Shamsul Baharin Aman, premis tersebut dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan aluminium tanpa lesen dan permit yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliing 1974.

Katanya, operasi sekitar jam 7.30 malam itu dibantu Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak dan Majlis Daerah Batu Gajah.

“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah besar aluminium dan peralatan pemprosesan serta penghasilan aluminium berada di premis tersebut.

“Seorang lelaki tempatan yang berusia 37 tahun, yang mengaku sebagai pengurus kilang, telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil rampasan melibatkan logam jenis aluminium dengan anggaran berat lebih kurang 1,221.3 tan bernilai RM9.7 juta.

Selain itu, katanya, turut dirampas peralatan memproses bernilai RM1.2 juta, sebuah treler bernilai RM750,000 dan minyak diesel serta tangki hampir RM45,000.

Shamsul Baharin berkata, hasil soal siasat mendapati kilang itu menjalankan aktiviti menyimpan, memproses dan mengeluarkan bahan-bahan logam sejak 2023 dengan bantuan 10 orang pekerja warga asing.

Menurutnya, logam aluminium yang siap akan dieksport ke luar negara melalui ejen yang dilantik dengan anggaran keuntungan bulanan sebanyak RM 20,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen
Akta Peniaga Sekenhend 1946; Seksyen 18, 19, 34A, 34B dan 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Undang Undang Kecil, Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2017.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Sementara itu, Datuk Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, bahan aluminium yang dirampas dipercayai bahan buangan di bawah kod SW 422 iaitu campuran logam dengan buangan solvent yang dikenali sebagai bahan buangan berjadual yang dilarang sama sekali diproses tanpa lesen yang sah.