Pergelangan tangan manusia dijumpai di lokasi kemalangan tiga kenderaan

Berita Perak

IPOH: Pergelangan tangan manusia yang terputus ditemui dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berdekatan Hospital Bahagia Ulu Kinta, di sini hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kemalangan yang berlaku sekitar jam 11.16 pagi itu turut menyebabkan kebakaran kepada salah sebuah kereta.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun ke lokasi dan mendapati kemalangan membabitkan kereta jenis Toyota Vios, Proton Saga dan Honda Accord.

“Kereta jenis Toyota Vios terbakar 95 peratus, kereta jenis Proton Saga dan Honda Accord terbabit dengan perlanggaran.

“Terdapat tangan manusia yang telah putus dijumpai di lokasi kemalangan.

“Bagaimanapun, kesemua mangsa yang terlibat telah tiada setibanya bomba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ketua operasi kemudiannya memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula air tangki jentera.

Sehubungan itu katanya, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang membabitkan seramai sembilan orang anggota itu tamat pada jam 11.49 pagi.