Perdana Menteri sumbang 126 ekor lembu korban untuk Parlimen Tambun

Berita Perak

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan sebanyak 126 ekor lembu korban untuk diagihkan kepada masjid dan surau di dalam kawasan Parlimen Tambun.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, bilangan itu meningkat berbanding tahun lalu kerana Perdana Menteri mahu memastikan semua masjid dan surau dapat menjalankan ibadah korban.

Beliau turut mengingatkan pegawai syarak masjid dan surau supaya memastikan umat Islam dalam Parlimen Tambun mendapat manfaat program tersebur.

“Saya mengingatkan mereka supaya kita dapat pastikan setiap sumbangan lembu korban itu dapat kita agihkan kepada seramai mungkin, terutamanya mereka yang dalam kategori B40 yang kadang-kadang sukar untuk mendapatkan daging dan sebab masalah ekonomi dan sebagainya.

“Dan itulah sebenarnya antara perkara yang menjadi penghayatan kepada ibadah korban ini untuk memastikan lebih ramai lagi umat Islam dapat manfaat daripada program seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan dan Akad Lembu Korban 2025 Peringkat Parlimen Tambun di Sekolah Kebangsaan Meru Raya, Ipoh pada Jumaat

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata, inisiatif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) menyediakan lembu dengan harga murah bagi ibadah korban akan diperluaskan tahun depan bagi memberi peluang lebih ramai rakyat menyertai ibadah tersebut.

Menurutnya, Perdana Menteri melihat inisiatif NACCOL yang membeli lembu secara pukal dan murah mampu diperluaskan lagi.

Katanya, projek perintis inisiatif tu telah dilaksanakan di Parlimen Parmatang Pauh tahun ini.

Projek perintis yang dilaksanakan di Parlimen Permatang Pauh sangat menggalakkan apabila seekor lembu dijual dengan harga RM2,800 seekor atau RM399 bagi satu bahagian.