KAMPAR: Perak akan menambah bilangan pegawai penguatkuasa bagi mengurangkan lagi kes pencerobohan hutan simpan kekal di negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tambahan itu sangat perlu kerana Perak mempunyai hutan simpan kekal yang sangat luas.
“Kita akan menambah bilangan penguatkuasa kerana kawasan itu tidak berpagar.
“Ada orang masuk malam, ada orang menyalah gunakan hubungan baik dengan Orang Asli untuk masuk (hutan simpan kekal).
“Sukar untuk kita kawal kecuali kita ada penguat kuasa yang mencukupi untuk memantau, kita akan tambah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program pemulihan biodiversiti AEON Credit di Taman Alam Kinta di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan lapan lelaki tempatan masing-masing didenda tujuh ribu ringgit di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Khamis selepas mengaku salah memasuki Hutan Simpan Banding tanpa permit sah di Gerik, Mac lalu.
Terdahulu, pada 18 Mac media melaporkan Jabatan Perhutanan Negeri Perak mengumumkan pembekuan pemberian kelulusan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal di daerah Hulu Perak dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dilakukan berkaitan kes pengeboman ikan yang tular sebelum.
Pada 12 Mac, sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan apabila beberapa bangkai haiwan itu ditemui di sekitar kawasan sungai dalam hutan.
Terdahulu, di dalam ucapannya, Saarani berkata, komitmen kerajaan negeri terhadap pemuliharaan hutan sangat jelas dan tuntas.
Menurutnya, sehingga 31 Mac lalu, keluasan keseluruhan hutan simpan kekal adalah sejumlah 988,826.98 hektar yang mewakili 96.4 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di Perak.
“Malah, sepanjang tahun 2023, kerajaan negeri telah mewartakan seluas 4,655.55 hektar hutan simpan kekal baharu yang melibatkan 4,520.75 hektar hutan darat dan 134.80 hektar hutan paya laut,” ujarnya.
Katanya, tambahan keluasan itu sekaligus mengekalkan status Perak sebagai negeri yang mempunyai hutan simpan kekal tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak 47 peratus.