Perak sangat simpati insiden timpa tiga pemain bola sepak

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak sangat bersimpati dengan insiden yang berlaku kepada tiga pemain bola sepak, Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Syafiq Rahim

Sehubungan itu, semua atlet dan ahli sukan di Perak diminta supaya lebih berhati-hati dan mematuhi kod keselamatan yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan atau KBS.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, adalah wajar keselamatan gelanggang dan fasiliti sukan di Perak dipertingkat dan dijaga.

“Kod sukan selamat itu perlu dipraktikkan dan saya lihat kejadian
yang berlaku kepada tiga-tiga atlet itu bukan berada sewaktu mereka menjalani latihan, cuma di waktu mereka bersama dengan keluarga ataupun program-program sampingan yang lain.

“Saya mengingatkan supaya atlet juga kena mematuhi keselamatan-keselamatan yang ditetapkan dan jikalau ada sebarang perkara yang agak tidak diingini kena membuat laporan segera kepada pihak keselamatan supaya keselamatan mereka juga dapat dijaga dengan baik nanti,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Countdown 100 Hari SUKMA Sarawak di Galasa Caldwell, di Ipoh pada Rabu yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sejak beberapa hari lalu, negara dikejutkan dengan kejadian tiga pemain bola sepak.

Pada malam Khamis lalu, Akhyar Rashid mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas didakwa menjadi mangsa samun dalam kejadian yang berlaku di Terengganu.

Selepas itu Faisal Halim pula dilaporkan telah disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat membeli-belah di Damansara pada Ahad.

Terbaharu, bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim, turut ditimpa malang apabila cermin kereta dipecahkan menggunakan tukul besi berdekatan pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.