IPOH: Perak FC mahu mendedahkan pemain bawah umur kepada permainan berprestasi tinggi dengan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Jemputan Malaysia-China Bawah 12 Tahun.
Pengarah Teknikal Pertandingan, Raja Azlan Shah Raja So’ib berkata, kejohanan kali pertama akan diadakan pada 21 dan 22 Disember depan, yang melibatkan lapan pasukan, termasuk dua daripada Wilayah Hainan, China.
Menurutnya, kejohanan itu yang dianjurkan bersama Perak FC dan Kelab Rekreasi Cina Perak (PCRC) adalah sempena ulangtahun ke-50 hubungan persahabatan Malaysia – China.
“Selain itu, kejohanan ini juga sebagai satu usaha membantu mempromosikan Perak melalui pelancongan sukan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden PCRC merangkap Timbalan Pengerusi Pertandingan, Chan See Onn dan
wakil pasukan Hainan Deneng FC & Hainan Zhonghai FC, Gary Teh.
Raja Azlan Shah menjelaskan pemilihan dua kelab daripada Hainan kerana mereka mempunyai kemudahan bola sepak yang bertaraf dunia di samping pasukan Hainan Zhonghai FC adalah juara bawah 12 tahun di Wilayah Hainan.
“Dengan adanya pasukan dari kelab-kelab ini, pemain-pemain kita akan didedahkan dengan permainan bola sepak yang berprestasi tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Gary Teh pula berkata, Hainan mempunyai kemudahan bola sepak yang boleh dianggap setaraf dengan kemudahan di Johor Darul Takzim (JDT).
Selain dua pasukan dari Hainan, terdapat enam lain pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang akan diadakan di Padang PCRC.
Pasukan-pasukan itu ialah PCRC A dan B, Perak FC Academy, ATM Gladiators, Ipoh Friday’s Club dan D.I.A Kicker’s yang baru dinobatkan sebagai juara kejohanan bawah 12 tahun anjuran Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) baru-baru ini.