IPOH: Perak mencatatkan sebanyak
325 kes penipuan dalam talian yang melibatkan kerugian terkumpul berjumlah RM30.5 juta, bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bagaimanapun berkata, bilangan itu berkurangan 148 kes, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, secara keseluruhan, polis Perak merekodkan sebanyak 346 kertas siasatan bagi kes jenayah penipuan pelbagai, berkurang 158 kes berbanding tempoh sama tahun 2023.
“Secara keseluruhannya keadaan keselamatan dan ketenteraman di negeri Perak adalah baik dan terkawal,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bagi Bulan Mac 2024 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini, hari ini.
Beliau berharap warga kerja PDRM Perak, akan terus melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh komitmen dan disiplin, agar kita mengukir kejayaan-kejayaan baru, dan membalas kepercayaan masyarakat kepada perkhidmatan pasukan.
Dalam masa sama, katanya PDRM Perak juga amat bertuah, kerana sentiasa menerima sokongan sama ada dalam bentuk fasiliti, sumber manusia, kepakaran, dan kewangan daripada pihak kerajaan negeri Perak, badan berkanun dan juga sektor korporat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk media, yang sentiasa cakna dan memberikan perhatian, dalam memelihara undang-undang, mengekalkan keamanan serta mencegah, menangkap dan mendakwa penjenayah.
Pada majlis itu, Mohd Yusri turut menyampaikan surat penghargaan kepada beberapa orang pegawai dan anggota, yang telah mencapai kejayaan dalam operasi-operasi menumpaskan kumpulan penjenayah dan mencapai kejayaan lain yang telah mengharumkan nama pasukan polis.
Beliau turut melakukan pelepasan kontinjen PDRM Perak yang akan mengambil bahagian di dalam Temasya Sukan Piala Ketua Polis Negara pada 4 – 8 Mac ini.
PDRM Perak akan mengambil bahagian dalam sukan ragbi, hoki, berbasikal, olahraga dan tarik tali.