Penunggang motosikal maut terlanggar lubang sebelum digilis kereta

Berita Perak

IPOH: Seorang wanita maut setelah motosikal yang ditunggang hilang kawalan akibat terlanggar lubang di bahu jalan, sebelum digilis sebuah kereta dekat Jalan Ipoh-Lumut, di sini pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, kejadian berlaku kira-kira jam 1.05 tengah hari itu menyebabkan mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Besar Batu Gajah.

“Mangsa berusia 18 tahun terbabit kemalangan dengan sebuah kereta, siasatan awal mendapati kemalangan jalan raya berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Ipoh ke Batu Gajah.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dia terlanggar lubang di bahu kiri jalan kemudian hilang kawalan dan melanggar fender kiri hadapan sebuah kereta di laluan sama.

“Kereta itu dipandu seorang wanita berusia 40 tahun, mangsa terjatuh di atas jalan dan dipercayai telah digilis kereta tersebut.

“Akibat daripada pelanggaran tersebut, mangsa dibawa ke Hospital Besar Batu Gajah bagi mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman dan cedera parah di paha kanan.

“Manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru, katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan).

Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Syafiq Fauze di talian 0136713177 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.