TELUK INTAN: Tempoh reman pengawal keselamatan yang disyaki mencabul kehormatan murid tahun satu di sebuah sekolah di Teluk Intan, 31 Januari lalu, disambung hingga Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata, suspek dijangka akan dituduh Jumaat ini di Mahkamah Majistret di sini, selepas lengkap siasatan.
Pada 31 Januari lalu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di Teluk Intan ditahan, kerana disyaki mencabul kehormatan seorang murid tahun satu di hadapan sebuah kelas, di sekolah tersebut.
Ahmad Adnan berkata, lelaki tempatan berusia 45 tahun itu ditahan setelah pihak polis menerima laporan daripada rakan setugas suspek.
Kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi sewaktu pengadu sedang meronda di kawasan sekolah tersebut.
Menurut pengadu, suspek telah bertindak memeluk dan mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan yang berusia tujuh tahun di hadapan kelas sekolah tersebut, sebelum menahan suspek pada hari yang sama di tempat kejadian.
Menurut mangsa, suspek telah beberapa kali melakukan perbuatan mencabul mangsa di sekolah yang sama dan hasil soal siasat awal yang dijalankan ke atas suspek, dia mengaku terlibat dengan perkara tersebut.
Suspek kemudiannya direman enam hari sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan juga sebatan.
GAMBAR HIASAN