Pembenihan awam di Bukit Merah mulai 29 Julai

Berita Perak

IPOH: Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan di Empangan Bukit Merah di Bagan Serai, Perak pada 29 hingga 31 Julai ini , susulan cuaca kering dan penyusutan baki simpanan semasa air mentah sehingga paras bahaya.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, operasi itu akan dilakukan secara berperingkat selama tiga hari berturut-turut.

Menurutnya, pelbagai cara digunakan untuk membantu pengairan sawah padi di kawasan berkenaan, termasuk usaha pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian.

“Sebenarnya pihak IADA Kerian sekarang ni telah menggunakan cara dengan semaksimumnya, dengan menggunakan lebih 30 pam air untuk kita ambilkan daripada parit buangan, masuk balik ke sawah-sawah.

“Ini inisiatif yang dilakukan pihak IADA lah dan pada 29 hingga 31 kita akan buat pembenihan awan,” katanya selepas program Ziarah Kasih Tani dan Promosi Hasil Tani Negeri Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman dan Pengarah Perikanan Negeri, Mohd Ghazali A Manap.

Program itu membabitkan penyerahan 120 pek kotak makanan berisi produk hasil tani kepada golongan memerlukan termasuk gelandangan.

Sebelum ini, media melaporkan paras empangan Kolam Bukit Merah yang menjadi sumber utama air bagi kegunaan domestik dan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping semakin menyusut berpunca daripada cuaca panas.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian terpaksa menghentikan bekalan pengairan untuk kegunaan sektor pertanian disebabkan paras air di Empangan Bukit Merah menyusut kepada paras 6.096 meter.

Mohd Zolkafly berkata golongan pesawah perlu melakukan langkah-langkah pengawalan sebelum penanaman padi bagi mengelakkan serangan tikus di kawasan sawah.