IPOH: Seorang pemandu maut apabila treler yang dipandunya dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah treler lain yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 47, Jalan Ipoh -Lumut, dekat Bota, malam tadi.
Lelaki berusia 32 tahun itu yang mendapat kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, kira-kira jam 11.15 malam, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan maut yang melibatkan dua treler jenis Mercedes Benz dan Hino serta sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku semasa treler jenis Mercedes Benz muatan simen sedang dalam perjalanan dari arah Seri Iskandar ke Gelung Pepuyu.
“Ketika melalui lokasi kejadian, treler itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang treler jenis Hino yang diletakkan di tepi jalan dan treler Hino.
“Treler jenis Hino kemudiannya telah melanggar belakang kereta Toyota Vios yang juga diletakkan di tepi jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu, treler jenis Mercedes Benz telah meluncur ke hadapan lebih kurang 100 meter dan merempuh halaman sebuah rumah di sebelah kiri jalan berkenaan.
Katanya, lokasi kemalangan berada dalam keadaan basah, tiada lampu jalan dan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV)
“Dalam kemalangan ini, pemandu lori jenis Mercedes Benz mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah ‘polytrauma injury secondary to motor vehicle accident’,” ujarnya.
Katatanya, pihak masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang yang yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat trafik IPD Perak Tengah, Inspektor M Maheswaran di talian 010-7005051 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.