MANJUNG: Seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Besar, Kampung Cina, Seri Manjung di sini lewat malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11.53 malam.
Katanya, kemalangan itu melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan Perodua Myvi.
“Terdapat dua orang mangsa lelaki terlibat. Mangsa yang cedera dari Mitsubishi Triton telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Manakala seorang lagi yang memandu kereta Produa Myvi disahkan meninggal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Manjung menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang maut dan tersepit.
Setelah itu, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Operasi membabitkan 10 orang anggota bomba itu tamat jam 1.08 pagi.