Pelantikan Pegawai Khas MB bukan ancaman tapi cabaran

Berita Perak

IPOH: Pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar di 26 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang di Perak bukan sebagai ancaman kepada ADUN di kawasan berkenaan.

Sebaliknya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia adalah cabaran supaya mereka bekerja dengan lebih kuat.

Menurutnya, pelantikan itu bukan perkara baharu, tambahan pula ia juga tidak menjejaskan elaun bulanan RM11,000 yang diterima setiap wakil rakyat di Perak, termasuk pembangkang.

“Saya tidak melihat itu sebagai keperluan untuk menyaingi pembangkang, sebab itu di negeri Perak, saya buat secara teratur, ada kertas exco sebab setelah dua tahun, saya lihat ada kelompongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan Kad Perak Sejahtera (KPS) di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau memberi contoh, di daerah Kerian, terdapat empat DUN pembangkang menyebabkan tiada seorang pun wakil kerajaan dalam mesyuarat tindakan daerah.

Menjelaskan lanjut, Saarani berkata, sebelum ini pun kerajaan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan melantik pegawai penyelaras DUN di kawasan-kawasan pembangkang.

Dalam masa sama, kata beliau, mulai tahun ini, peruntukan pengurusan kepada semua pusat khidmat ADUN, termasuk pembangkang, telah dinaikkan daripada RM7,000 sebulan, kepada RM10,000.

Terdahulu, satu hantaran di Facebook Kenering Sejahtera, mempertikaikan pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar yang didakwa kononnya bertujuan membunuh karier wakil rakyat yang dipilih.