Pelajar sekolah kerja ‘part time’, usah sampai keciciran

Berita Perak

PARIT: Siri jelajah Gerak Generasi Baru (GGB) bergerak ke 12 daerah di Perak, selain menyasarkan pelajar sekolah di luar bandar.

https://kelabwanitaikon.com/vote-awim2425/ Jangan lupa Undi Wanita IKON PERAK sebagai IKON Wanita Malaysia.

Menurut Pengerusi Eksekutif Taj International College (TIC), Tina Tajuddin, statistik menujukkan ramai pelajar sekolah kini cenderung bekerja untuk menjana pendapatan sampingan.

Katanya, jika perkara itu tidak dibendung, dikhuatiri para pelajar itu tidak berminat untuk meneruskan pelajaran, kemudian tercicir.

“Kita mahu bantu pelapis generasi muda untuk tidak mengabaikan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Maklum balas yang saya terima daripada akar umbi seperti Pengarah Pendidikan dan Pengetua, ternyata ramai pelajar sekarang bekerja walaupun baru berusia 16 dan 17 tahun.

“Mereka sebenarnya berkemungkinan tidak mahu sambung belajar kerana hanya fokus kepada kerja.

“Sekiranya tidak bantu, ia akan menambah kepada isu keciciran kerana mereka tiada kelayakan,” katanya ketika ditemui ketika kunjungan di SMK Sultan Muhammad Shah, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Tina berkata, peranannya sebagai Ikon Wanita Perak turut menekankan kepentingan pendidikan kepada orang ramai.

“Saya sebagai Ikon Wanita Perak membawa flagship pendidikan yang tertumpu di peringkat awal iaitu di sekolah.

“Menerusi jelajah ini saya dapat jumpa dengan para guru dan pelajar, di mana saya berkongsi konsep Learn and Earn.

“Iaitu menjana pendapatan sambil belajar, bermakna boleh kerja tapi dalam masa sama pendidikan tidak diabai,” katanya lagi.

Beliau menambah, antara sebab fokus utama diadakan di luar bandar adalah kerana motivasi para pelajar di situ kurang.

“Kita terpanggil untuk turun padang dan membawa sendiri contoh dan inspirasi kepada anak-anak ini.

“Oleh itu 12 daerah ini akan menumpukan kepada 12 sekolah yang terpilih, pelbagai intipati menarik yang kita anjurkan.

“Sebagai contoh di SMK Pusing yang jemput kita untuk hadir, sambutan mereka begitu luar biasa termasuk Pengetua dan barisan guru,” katanya.

Sementara itu, pelajar SMK Pusing, Abadiahtun Harumi Zulhazmi, 17, berkata, banyak input yang disampaikan menerusi jelajah itu.

“Memang betul apa yang disampaikan oleh Puan Tina, mungkin ramai anak muda yang mahu jadi pempengaruh dan kerja sampingan di luar waktu sekolah.

“Tetapi jangan sampai abai pelajaran, kerana kita kena ada ilmu untuk berjaya dan ia mampu membawa kita kepada pelbagai cabang kerja,” katanya.

Turut berlangsung sempena jelajah itu ialah program santuni orang kurang bernasib baik dengan pemberian kotak makanan dan kunjung hormat ke Pejabat Pendidikan Daerah.