Pekerja kilang warga Bangladesh cedera, tangan tersepit mesin buang sabut kelapa

Berita Perak

BAGAN DATUK: Seorang pekerja kilang warga Bangladesh terpaksa menahan sakit lebih 20 minit apabila pergelangan tangannya tersepit pada mesin membuang sabut kelapa di sebuah kilang, dekat sini pada Khamis.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mangsa lelaki dikenali sebagai Miraj Hossain, 35, itu cedera di pergelangan tangan kanan.

Katanya, pihak bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.03 tengah hari, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang tiba di lokasi pada 12.23 tengah hari.

“Difahamkan pekerja tersebut tersepit tangan pada mesin membuang sabut kelapa ketika menjalankan rutin kerja hariannya di kilang tersebut.

“Didapati tangan mangsa tersepit sehingga ke paras pergelangan tangan dan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sabarodzi menambah, ketua operasi kemudiannya mengarahkan anggota untuk membuat kerja menyelamat dengan menggunakan peralatan hidraulik.

Katanya, setelah tangan mangsa berjaya dikeluarkan dari mesin tersebut, dia kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menerima rawatan lanjut.

Operasi yang diketuai PBK II Faris Zahir itu tamat sepenuhnya jam 1.12 tengah hari.