Peguam direman empat hari bantu siasatan sogokan RM1.6 juta

Berita Perak

IPOH: Seorang peguam direman empat hari bagi membantu siasatan kes sogokan berjumlah RM1.6 juta daripada seorang usahawan.

Perintah reman terhadap lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Ipoh, Noor Azreen Liana Mohd Darus di Lokap Mahkamah, Wisma Wan Mohamed, Ipoh, pada Khamis.

Perintah reman sehingga 12 Mei itu dikeluarkan selepas permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, media melaporkan seorang peguam yang dipercayai menerima sogokan berjumlah RM1.6 juta daripada seorang usahawan ditahan SPRM Negeri Perak pada Rabu.

Difahamkan, wang sogokan itu adalah untuk membantu menutup kes jenayah penipuan pelaburan usahawan terbabit.

Suspek dipercayai ditahan di sebuah restoran di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh sekitar jam 11 pagi selepas menerima wang tunai berjumlah RM100,000 serta dua keping cek bernilai RM 1.5 juta daripada usahawan berkenaan.

Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi pada Rabu mengesahkan penahanan lelaki tersebut.

Katanya, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu akan dibawa ke mahkamah pada Khamis bagi mendapatkan permohonan reman.