IPOH: Seorang Pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, dua tahun lalu.
Tertuduh, Azdee Muaz Md Adnan, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang tunai RM10,800 daripada kerani sebuah syarikat sebagai dorongan untuk mengangkat fail permohonan bagi mempercepatkan proses mendapatkan kuota dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bagi syarikat berkenaan seramai 54 orang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat tersebut di Kamunting, pada 25 Julai 2023.
Bagi pertuduhan kedua pula, Pegawai Imigresen itu didakwa secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM5,200 daripada seorang wanita sebagai sebahagian bayaran bagi suatu dorongan untuk mengangkat fail permohonan bagi mempercepatkan proses mendapatkan kuota dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bagi syarikat sama seramai 52 orang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Pusat Membeli Belah Kinta City, Ipoh, antara jam 1 hingga 2 petang, pada 3 Ogos 2023.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shahrul Azuan Ghazali dan Maziah Mansor manakala tertuduh diwakili Peguam Md. Yusuf Idris.