Pak Cik Ahmad yang tular terlantar akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta

Berita Perak

IPOH: Lelaki yang tular terlantar seorang diri di bilik sebuah rumah kedai di Jalan Tun Abdul Razak di sini, akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan & Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah cuba menghubungi waris keluarga, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang perkhabaran.

“Sehubungan itu, JKM akan mendapatkan perintah perlindungan sementara dari mahkamah pada esok untuk menempatkan penama di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam tempoh ini, ujarnya, JKM akan melengkapkan siasatan dan akan memastikan satu penyelesaian jangka panjang dapat dibuat bagi menjamin kesejahteraan penama.

Salbiah berkata, pihaknya telah dimaklumkan berkenaan perkara itu melalui media dan beberapa individu dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada hari isu itu dimuat naik di media, Khamis lalu

Menurutnya, JKM telah mengadakan lawatan dan siasatan ke lokasi tempat tinggal Pakcik Ahmad Kusaimi di sebuah bilik bangunan rumah kedai pada hari yang sama dan mendapati penama memang memerlukan penjagaan dan tempat tinggal yang sesuai.

“Kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak NGO dan perseorangan yang telah tampil membantu penama. Kerajaan amat menghargai segala kerjasama dan laporan yang telah dipanjangkan agar tindakan selanjutnya dapat dibuat,” ujarnya.

Beliau berkata, sejak 2023, usaha yang berterusan bagi membasmi kemiskinan tegar telah digerakkan dan kini jumlah KIR Miskin Tegar semakin menurun.

Tambahnya, semua agensi pemberi bantuan dan yang berkaitan kini bergabung tenaga dalam satu jawatankuasa khas yang telah dibentuk agar semua rakyat yang layak menerima bantuan dapat disantuni.

Oleh itu, kata Salbiah, bantuan dan maklumat dari rakyat berkenaan golongan tercicir amat penting bagi memastikan agenda itu direalisasikan dan tiada keluarga mahupun individu terpinggir.