Novinthen Krishnan tanding Ketua Cabang PKR Sungai Siput, fokus 10 komitmen utama

Berita Perak

IPOH: Mesej yang dibawanya jelas, tidak bertanding untuk jawatan tapi untuk perubahan.

Itu perjuangan serta misi Novinthen Krishnan, yang aktif berkecimpung sebagai aktivis masyarakat dan mempunyai 15 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, di pusat serta negeri.

Beliau yang juga sebagai pengamal media menyatakan hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Siput dalam pemilihan parti yang akan berlangsung pada 13 April.

“Sepanjang kerjaya, saya telah terlibat secara langsung dalam komunikasi politik, pembangunan dasar, dan kerja akar umbi bersama rakyat.

“Justeru itu, saya percaya sudah tiba masanya untuk kita mencipta gelombang baharu dalam kepimpinan cabang.

“Iaitu kepimpinan yang lebih inklusif, telus dan bersedia untuk menghadapi cabaran politik masa hadapan.

“Saya tidak bertanding kerana mengejar jawatan. Saya bertanding kerana mahukan perubahan.

“Saya ingin melihat Cabang PKR Sungai Siput dihidupkan semula sebagai pusat kekuatan rakyat, bukan hanya menjelang pilihan raya, tetapi sebagai jentera yang sentiasa berkhidmat untuk masyarakat, sepanjang masa,” katanya.

Melalui kempen bertemakan ‘Wacana Baru, Perjuangan Belum Selesai’, beliau memperincikan 10 komitmen utama yang menjadi teras perjuangan.

Antaranya termasuk, penubuhan ibu pejabat tetap cabang, skim insurans dan takaful untuk ahli, dana pendidikan untuk anak-anak ahli.

Pengukuhan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) serta program pembangunan kepimpinan muda.

“Saya percaya kepimpinan sejati harus berlandaskan integriti, perpaduan dan tindakan yang nyata.

“Sudah tiba masanya cabang ini dikembalikan kepada rakyat. Kepimpinan bukan untuk dihormati tetapi untuk berkhidmat.

“Saya menyeru seluruh ahli PKR di Sungai Siput agar kita bersatu hati, membina cabang yang lebih progresif, berdaya saing dan relevan untuk masa depan,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai manifesto beliau, layari: www.novinthen.com

Untuk sebarang pertanyaan media atau temu bual, hubungi di talian: 012-508 0372.